KUALA LUMPUR, 24 April- Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memuji tindakan pantas Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam mengendalikan tragedi dua helikopter terhempas yang mengorbankan 10 anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semalam.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya turut mengalu-alukan tindakan menteri termasuk membatalkan acara sambutan ulang tahun ke-90 TLDM dan digantikan dengan majlis tahlil dan doa selamat Jumaat ini.
“PAS juga menyambut baik jaminan beliau untuk bukan sahaja membantu menguruskan jenazah mangsa, tetapi juga mengurus semua manfaat serta faedah yang sewajarnya diterima oleh balu dan keluarga mangsa bagi menjaga kebajikan mereka.
“Walaupun tidak menetapkan had masa untuk menyediakan laporan interim kejadian, jaminan menteri untuk melakukannya, selain keputusan kementerian untuk menubuhkan sebuah lembaga siasatan TLDM bagi mengenal pasti punca kejadian adalah langkah yang tepat dan sewajarnya disegerakan tanpa lengah,” katanya.
Sementara itu, jelas Takiyuddin, PAS turut merakamkan rasa sedih dan terkejut atas insiden kemalangan helikopter tersebut yang mengorbankan 10 nyawa.
"Kehilangan serentak anggota seramai itu yang rata-rata dilaporkan berusia bawah 40 tahun adalah kerugian besar kepada pasukan, negara serta seluruh rakyat Malaysia dan lebih-lebih lagi keluarga mangsa terbabit,"katanya.