KUALA LUMPUR, 18 Januari- Parlimen Lembah Pantai akan mengumpulkan dana sebanyak RM5 juta pada tahun ini bagi menampung kenaikan kadar caj perkhidmatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, dana tersebut bertujuan membantu rakyat yang memerlukan termasuk golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat kenaikan caj pusat perubatan tersebut bermula 1 Januari lalu.
Beliau berkata langkah itu penting kerana PPUM merupakan antara pusat tumpuan rawatan kesihatan penduduk di Lembah Pantai.
"Saya telah mengadakan pertemuan dengan Pengarah, Timbalan Pengarah dan pengurusan tertinggi PPUM. Sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai, PPUM itu berada dalam kawasan Lembah Pantai.
"Sebelum ini mereka mengadakan perbincangan dengan saya dua kali. Pada waktu itu, saya nyatakan pendirian bahawa tidak wajar dikenakan peningkatan. Kali ini, mereka tidak bertemu dengan saya.
"... dan telah mengumumkan dahulu, tetapi saya telah memanggil mereka pada Sabtu minggu lalu dan menyatakan bahawa saya tidak setuju sebagai Ahli Parlimen, bahawa mereka telah meningkatkan kos", katanya.
Beliau berkata dana tersebut akan disalurkan kepada Tabung PPUMCare dan seterusnya disalurkan melalui Jabatan Sosial pusat perubatan tersebut bagi melalui proses tapisan serta mengenal pasti pesakit yang layak mendapatkan bantuan.
Beliau berkata demikian kepada media di Majlis Pelancaran Program Rintis ‘Future Health for All’ di IWK Eco Park @ Pantai Dalam, Kuala Lumpur.