fb fb fb fb fb

Paras air di Empangan Air Itam turun 1% sehari

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Ir K. Pathmanathan

GEORGE TOWN, 2 Februari - Paras air di Empangan Air Itam berkurangan satu peratus sehari berikutan cuaca kering dan penggunaannya untuk menyelesaikan lima kejadian gangguan bekalan air di negeri itu.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Ir K. Pathmanathan berkata, ia bukan perkara baru kerana penurunannya sama pada hari-hari biasa sekiranya tidak hujan.

Menurut beliau, pihaknya kini juga sedang merangka pelan kontigensi untuk memastikan tidak berlakunya penurunan yang signifikan di empangan tersebut.

Setakat ini akaun pengguna yang bergantung kepada Empangan Air Itam adalah sebanyak 30,000 akaun.

Jelas beliau,  angka tersebut dijangka akan berkurang selepas pelan kontigensi diumumkan PBAPP pada minggu depan.

"Dan lagi pun kita sudah selesaikan Sungai Perai dan penyaluran sudah bermula dan apa yang kita nampak selepas kita sudah baiki, lagi banyak yang disalurkan ke arah pulau. Jadi memang boleh membantu lah. Walaupun ia paip yang kecil tetapi ia memenuhi keperluan pengguna," Ir K. Pathmanathan bercakap kepada pemberita semasa melawat Empangan Air Itam, George Town, semalam.

Justeru, beliau menegaskan penurunan satu peratus sehari kadar air di empangan tersebut bukanlah sesuatu yang boleh menimbulkan situasi panik. 

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

TETITIA YUSOFF