fb fb fb fb fb

Pantau anak-anak di masjid agar tidak ganggu jemaah lain - Mufti Wilayah

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah ketika berucap pada Program Mufti Bersama Media sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) di Putrajaya semalam/Foto FB Pejabat Mufti Wilayah

PUTRAJAYA, 23 Mac - Ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka ke masjid namun perlu memantau setiap pergerakkan mereka agar tidak mengganggu jemaah lain yang sedang beribadah, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah.

Beliau menjelaskan hukum membawa kanak-kanak ke masjid adalah diharuskan menurut Imam asy-Syaukani, namun terdapat pandangan lain daripada Maliki, Hambali dan Syafie yang mana kategori belum mumayyiz (mampu membeza baik dan buruk) dilarang atau tidak dibenarkan dibawa ke rumah ibadat.

"Dia punya asas penting ialah dia jangan menganggu orang lain untuk buat ibadat. Ini soal cara kita mengurus kanak-kanak yang dibawa ke masjid supaya tidak menimbulkan masalah pada orang yang tengah buat ibadat.

"Kita nak ibadat sempurna dan kita nak juga dedahkan mereka kepada masjid seawal mungkin supaya kanak-kanak tersebut dekat dengan masjid," katanya pada majis Mufti Bersama Media sempena sambutan Jubli Emas Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan malam tadi.

Oleh itu, jelas beliau, ibu bapa dinasihatkan mendidik anak-anak supaya menjaga adab terlebih dahulu sebelum membawa mereka mengimarahkan masjid bersama.

Selain itu, katanya pihak masjid juga memainkan peranan yang penting dalam menyantuni kanak-kanak seperti menyediakan ruangan kanak-kanak dan sebagainya agar mereka berasa lebih dekat dan selesa dengan masjid.

Sebelum ini, tular video seorang warga emas yang juga ahli jawatankuasa Masjid al-Falah di Jempol, Negeri Sembilan ditarik kerusi oleh kanak-kanak lelaki menyebabkannya jatuh terduduk.

Bagaimanapun, wanita itu memaafkan kanak-kanak lelaki tersebut.

Terbaharu, tular pula video berdurasi 30 saat di platform X memaparkan seorang kanak-kanak bertindak agresif dengan memanjat belakang badan jemaah wanita sambil menyepak tubuh badan jemaah lain di sebuah masjid sehinggakan insiden tersebut menjadi bualan netizen di media sosial.

GRACE AISYAH KEDAYAN