Panggilan palsu, pembakaran terbuka ancam kesiapsiagaan bomba

 

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan panggilan kecemasan palsu mengurangkan kesiapsiagaan kerana aset dan anggota digerakkan ke lokasi tanpa insiden sebenar.
  • Pola panggilan palsu dari kawasan terpencil menyukarkan pengesahan dan memerlukan kerjasama dengan Kementerian Komunikasi.
  • Kebakaran terbuka, walaupun kecil, boleh menyebabkan kerosakan besar dan pemindahan penduduk, terutamanya semasa cuaca kering.
  • Orang ramai diminta guna talian 999 dengan bertanggungjawab; tindakan undang-undang menanti pesalah panggilan palsu dan pembakaran terbuka.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 30 Januari – Peningkatan panggilan kecemasan palsu serta kes kebakaran terbuka yang semakin membimbangkan dikenal pasti sebagai antara cabaran utama yang boleh menjejaskan tahap kesiapsiagaan dan perlindungan keselamatan awam di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohamad berkata, trend peningkatan panggilan palsu sejak tiga tahun kebelakangan ini bukan sahaja menyebabkan pembaziran sumber, malah membuka ruang risiko keselamatan apabila aset dan anggota terpaksa digerakkan ke lokasi yang tidak wujud insiden sebenar.

Beliau berkata, JBPM merekodkan 141 panggilan palsu pada 2023, sebelum meningkat kepada 196 panggilan pada 2024 dan seterusnya 255 panggilan pada 2025.

“Isu paling besar bukan sekadar kerugian logistik atau kewangan, tetapi apabila jentera digerakkan ke lokasi jauh, kawasan bandar yang sepatutnya dilindungi akan mengalami kekosongan perlindungan buat sementara waktu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan JBPM 2026, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya kini bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi bagi mengenal pasti corak atau pola panggilan palsu, khususnya panggilan yang dibuat dari kawasan terpencil yang menyukarkan proses pengesahan.

Dalam perkembangan berkaitan, Nor Hisham berkata peningkatan kes kebakaran terbuka pada awal tahun ini turut menambah tekanan terhadap keupayaan operasi JBPM, khususnya ketika negara sedang berdepan cuaca kering.

JBPM merekodkan sebanyak 3,565 kes kebakaran terbuka di seluruh negara setakat ini, dengan majoriti berpunca daripada pembakaran belukar dan sampah.

Beliau berkata, pembakaran terbuka yang dianggap kecil boleh mengakibatkan kerugian besar, termasuk kemusnahan harta benda dan pemindahan penduduk, seperti yang berlaku dalam beberapa insiden di Johor.

“Kita tidak mahu orang anggap pembakaran kecil ini perkara remeh. Ada kes sehingga memusnahkan 18 kenderaan dan memaksa pembukaan pusat pemindahan sementara kerana api terlalu hampir dengan kawasan perumahan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai menggunakan talian kecemasan 999 secara bertanggungjawab serta mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka, khususnya ketika cuaca panas dan kering.

Individu yang membuat panggilan palsu atau melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut peruntukan sedia ada, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan.