Pahangfm santuni pendengar sempena Hari Radio Sedunia

Pahangfm turun padang santuni pendengar setia/ Foto FB Pahangfm

KUANTAN, 15 Februari – Komitmen penyampai radio tidak semata-mata menghiburkan pendengarnya di corong radio. Malah, ada kalanya mereka harus turun padang menghargai pendengar setia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pahangfm turun padang menyantuni pendengar setia sempena Hari Radio Sedunia dengan memberi buah tangan dan cenderamata.
  • Fokus khas kepada pendengar kurang upaya dan tiga pengusaha gerai makan sebagai penghargaan kepada kesetiaan mereka.
  • Kerjasama bersama rakan strategik dan organisasi setempat untuk menyalurkan sumbangan serta kekal relevan kepada pelbagai generasi.

Menyedari perkara itu, radio Pahangfm mengambil peluang untuk menyantuni pendengarnya sempena sambutan Hari Radio Sedunia yang disambut baru-baru ini.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Pahang Muhamad Khairunizam Abdul Salam, setiap kali sambutan Hari Radio, menjadi tradisi Pahangfm menerjah pendengarnya sambil memberikan pelbagai buah tangan.

Untuk sambutan kali ini, selain menyantuni pendengar kurang upaya, Pahangfm turut menyampaikan cenderamata khas kepada tiga pengusaha gerai makan yang merupakan pendengar setia stesen itu. Ketibaan penyampai Pahangfm ke gerai mereka turut disambut meriah.

“Saya berasa sangat dekat dengan Pahangfm walaupun sekadar mendengar siarannya di udara. Semua penyampai di PahangFM sangat prihatin. Biasanya pada waktu pagi, ketika saya memasak atau membuat kuih seperti karipap beku, mereka menjadi teman setia saya”, uajr pendengar Pahangfm Nasrah Abu.

Sementara itu, rakan-rakan strategik Pahangfm juga tidak melepaskan peluang untuk menyertai program berkenaan sekali gus menyalurkan sumbangan kepada pendengar kurang bernasib baik.

“Kerjasama ini akan kami teruskan kerana walaupun terdapat peralihan audiens ke medium lain, kami yakin bahawa pendengar setia Pahangfm tetap ada”, kata Ketua Bahagian Pemasaran dan Operasi Pusat Kutipan Zakat Pahang, Zafridan Mohamad Daud.

“Sudah tentu Pahangfm perlu menjadi pilihan utama kerana media dan setiap maklumat yang dikongsikan sangat relevan dengan isu semasa serta keadaan terkini, selain disampaikan dengan cara yang dekat dengan pendengar, terutamanya peminat generasi X, Y dan Z”, ujar Pengasas Hab Usahawan Pahang, Norliana Mohamad.

“Untuk kali pertama, kami amat berbesar hati dapat berkolaborasi kerana ini merupakan satu peluang untuk kami bertemu dengan golongan yang memerlukan bantuan, menerusi satu platform yang menarik”, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kedai Emas Azizah, Syakila Abdul Latif.