MARAN, 2 Jun- Pahang negeri pertama menubuhkan Sekretariat Perantau Anak Felda Pahang bagi memfokuskan kepada kebajikan anak Felda yang berada di luar negeri itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penubuhan sekretariat itu pada Ogos depan, bertujuan untuk mendekati dan menyantuni anak Felda di perantauan.
“Jadi untuk lebih fokus, lebih menjurus, senang sekiranya ada apa-apa program maklumat dan sebagainya. Saya telah mengasingkan (Sekretariat) dan diletak di bawah Datuk Amizar selaku Exco Felda.
“Maknanya kita dapat tahu jumlah anak-anak Felda yang berada di luar Pahang. Mungkin kita hendak buat program, kita nak buat contohnya jamuan raya, ramah mesra atau mendengar hala tuju yang dibawa oleh Pengerusi Felda dan anak-anak Felda di luar Pahang mendapat penerangan yang jelas.
“Selama ini saya mendapat mereka ini hanya mendengar cerita-cerita yang belum ada kesahihannya, kita tak mahu macam itu. Kita perlu memberitahu kepada mereka maklumat yang jelas,” katanya kepada media Majlis Perasmian Karnival Segalanya FELDA Peringkat Negeri Pahang di Perkarangan Stadium Tun Razak, Maran, yang turut dihadiri Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek..
Sekretariat perlu diwujudkan sebagai medium penyebaran maklumat yang jelas dan bukan hanya berpandukan fitnah di laman media sosial.
Sementara itu, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, melalui penubuhan sekretariat ini juga, ia dilihat dapat memperbetulkan sentimen dan persepsi salah yang disebarkan kepada anak-anak perantau Felda.
Katanya, setakat ini, kira-kira 40,000 anak perantau Felda di luar Pahang telah mendaftar di bawah Sekretariat Perantau Anak Pahang dan Sekretariat Mahasiswa Pahang.