fb fb fb fb fb

Pahang tawar insentif Pengecualian Denda Lewat bagi cukai tanah, sehingga November 2024

Foto FB Menteri Besar

LIPIS, 1 Jun- Kerajaan negeri Pahang menawarkan insentif Pengecualian Denda Lewat kepada semua pemilik tanah berkelayakan kecuali bagi pemilik tanah yang telah dikeluarkan Notis 6A sebelum 1 Julai 2024. 

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, insentif tersebut berkuat kuasa bermula 1 Jun sehingga 30 November 2024. 

Menurutnya, pemilik tanah di negeri itu diseru tidak melepaskan peluang tersebut untuk segera melunaskan bayaran cukai tanah atau tunggakan masing-masing tanpa dikenakan denda lewat serta mengelakkan sebarang implikasi kepada pemilikan tanah nanti.

"Hari ini juga saya mengumumkan lanjutan tempoh bayaran cukai tanah yang sepatutnya tamat pada 31 Mei. Namun, kita lanjutkan sehingga 30 November 2024 untuk pengecualian denda."

"Macam tadi, saya tengok ada yang bayar terlewat bayar, jadi kita umumkan perkara itu maka tidak dikenakan dendalah," kata Wan Rosdy berucap sempena Majlis Perasmian Karnival Tanah Pahang, 'Syukuri Nikmat, Laksana Tanggungjawab, Jelaskan Cukai Tanah Anda, Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Zulkifli Yaacob dan Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Datuk Hamdan Hussin.

Mengulas penganjuran karnival tersebut yang telah memasuki tahun kedua penganjurannya, beliau memberitahu ia  memberikan impak positif terhadap perolehan kerajaan negeri.

Tahun lepas, Pahang berjaya memperoleh kutipan hasil sebanyak RM1.306 bilion melalui pelbagai sumber ekonomi dengan sumbangan terbesar adalah daripada kutipan hasil tanah yang keseluruhannya berjumlah RM822.78 juta.

Dalam pada itu, Wan Rosdy juga memberitahu jumlah terkini hak milik tanah di Pahang adalah sebanyak 757,334.

Kerajaan negeri telah menyasarkan bagi tempoh tiga hingga empat tahun, jumlah hak milik tanah akan ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya sejuta hak milik.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM