KUANTAN, 16 Ogos - Pahang melancarkan beras prebiotik pertama negara yang mempunyai indeks glisemik rendah dan baik untuk kesihatan usus.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beras premium yang dihasilkan dari jelapang padi Ganchong, Pekan dan diproses di Rompin itu, turut sesuai untuk penghidap diabetes kerana kandungan gula yang rendah.
“Beras Pahang ini mempunyai kelebihan berbeza berbanding beras lain, termasuk dari Kedah dan Selangor. Ia mempunyai ciri khas yang dapat memberi nilai tambah serta keistimewaan tersendiri,” katanya.
Wan Rosdy memaklumkan, beras tersebut akan dipasarkan sepenuhnya bermula September ini, menerusi rangkaian Pasaraya Darul Makmur (PDM) di semua daerah seluruh negeri sebelum diperluas ke negeri lain.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mini MAHA Pahang di Dataran Temerloh, hari ini.
Penganjuran Mini MAHA Pahang selama empat hari itu berjaya menarik lebih 100 ribu pengunjung sejak Khamis lalu, dengan penyertaan hampir 100 usahawan tempatan dari sektor agro-pelancongan, makanan, pertanian, penternakan dan perikanan.
Menurut beliau, Mini MAHA bukan sahaja menjadi platform mempromosikan hasil pertanian negeri, malah memperkenalkan keunikan produk Pahang yang tidak terdapat di negeri lain.