fb fb fb fb fb

Pahang harap diberi pertimbangan teruskan pembinaan R&R LTU

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN, 8 OKTOBER- Kerajaan Negeri Pahang berharap agar pihak Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi memberi pertimbangan sewajarnya untuk meneruskan pembinaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lingkaran Tengah Utama (LTU).

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah membuat permohonan agar kemudahan tersebut perlu dibina bagi memberi keselesaan dan keselamatan kepada pengguna.

Katanya, kerajaan negeri berharap pihak terlibat mempertimbangkan perkara tersebut walaupun kos pembinaan R&R mencecah dua kali ganda daripada anggaran kos asal.

Selain itu, kerajaan negeri turut memberi penekanan Pakej 6 iaitu laluan Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) – Pelangai dapat diluluskan bagi melengkapkan jaringan LTU.

Sehingga kini empat laluan sepanjang LTU telah dibuka iaitu laluan Bentong Bypass, laluan Kampung Orang Asli Sungai Chandan – Kampung Asap, laluan Raub Bypass dan laluan Mentara – Kampung Seberang Jelai, melibatkan tahap kemajuan 66.01 peratus.

Pembinaan LTU sepanjang 299.4 kilometer itu dijangka siap menjelang akhir tahun 2026 melibatkan enam pakej pembinaan dengan kos keseluruhan RM7.7 bilion.

Inisiatif itu akan memberi manfaat kepada rakyat khususnya pengguna jalan raya yang melalui Bentong, Raub dan Lipis menuju ke Negeri Kelantan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE