fb fb fb fb fb

PADU : Kaedah bersemuka antara strategi JaPen Kelantan tingkat kesedaran penduduk

FOTO RTM

KOTA BHARU, 8 Januari- Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan mengambil pendekatan secara bersemuka dan secara digital dalam meningkatkan kesedaran penduduk di negeri itu berhubung sistem Pangkalan Data Utama (Padu) yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini.
 
Pengarahnya, Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata, selain hebahan digital menerusi media sosial, pihaknya juga melaksanakan Info On Wheels (IOW) khas dan menggerakkan lebih 100 komuniti MADANI seluruh negeri itu bagi hebahan berkait kepentingan mendaftar menerusi Padu.
 
Katanya, penerangan secara bersemuka tetap perlu diadakan khususnya kepada golongan yang lebih berusia bagi memudahkan mereka memahami pelaksanaan tersebut dan mendaftarkan diri.

Ini dapat mengelakkan mereka daripada tercicir.

“PADU ni adalah pangkalan data utama untuk pihak kerajaan menyemak ataupun melaksanakan subsidi bersasar.

"Jadi kita bimbang takut nanti ada nama sepatutnya bantuan tersebut tercicir oleh kerana kelekaan tidak mengisi PADU tersebut ianya akhirnya memberikan kerugian kepada  kita. Jadi kita sama-sama isi lah padu ini", katanya demikian ketika ditemui pada sidang media
 
Beliau berkata demikian kepada sidang media ketika ditemui di Program Sumbangan Foodbank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Bencana Banjir kepada Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) di Dewan Terbuka RTM Kelantan, di sini.
 
Terdahulu, beliau mengiringi Pengurus Negeri YaPEIM, Nik Mohd Nurul Ihsan Salleh menyampaikan 100 pek keperluan harian kepada pengamal media berkenaan.
 
Mengulas lanjut, Muhd Nor Aswadi berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga telah mengadakan beberapa inisiatif dalam memudahkan penduduk di Kelantan mendaftarkan diri dalam sistem itu.
 
Antaranya, membuka kaunter di premis termasuk Wisma Persekutuan Kota Bharu, Pejabat Tabung Haji, Kota Bharu dan di 80 Pusat Ekonomi Digital (PEDI) di negeri itu bagi membolehkan capaian akses dinikmati oleh semua penduduk sama ada di bandar ataupun luar bandar.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD