
KUALA LUMPUR, 16 Januari – Pembukaan semula Padang Merbok sepenuhnya kepada orang awam,mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam mengembalikan ruang awam kepada rakyat.
- Padang Merbok dibuka semula sepenuhnya kepada orang awam sebagai ruang rekreasi dan perpaduan.
- Padang akan dinaik taraf termasuk pemasangan skrin besar dan tayangan filem tempatan bersama FINAS.
- Penurunan pagar menjadikan kawasan sesuai untuk perhimpunan aman dan mengurangkan risiko gangguan trafik.
Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, berkata keputusan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya rakyat sebagai ruang rekreasi, perpaduan dan keterangkuman bandar selaras dengan semangat Malaysia MADANI
“Jadi hari ini ruang awam dipulangkan semula kepada rakyat dan ini merupakan satu langkah pertama untuk mewujudkan lebih banyak lagi padang di sekitar Kuala Lumpur untuk tujuan rekreasi untuk warga Kuala Lumpur.
“Padang merbok akan dinaik taraf. Kita akan letak skrin besar di sini untuk tujuan waktu malam juga keluarga boleh datang dan kita akan bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk menyiarkan filem-filem tempatan yang lama supaya keluarga mereka boleh berekreasi bersama tak perlu pergi panggung untuk satu keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau di sekitar Padang Merbok di ibu negara pagi tadi yang turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Fadlun Mak Ujud.
Ketiadaan pagar yang telah diturunkan berkuat kuasa 14 Januari lalu menjadikan Padang Merbuk lebih sesuai sebagai lokasi perhimpunan aman, termasuk bagi orang awam menyampaikan memorandum kepada wakil rakyat, berbanding melakukannya di tepi jalan yang berisiko dan mengganggu keselamatan trafik.
Menurut Hannah, pemasangan pagar di kawasan itu berlaku sekitar Ogos 2022, susulan satu perhimpunan yang diadakan selepas tempoh pandemik COVID-19, dan langkah tersebut tidak selari dengan konsep padang awam.
Kerajaan MADANI berhasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar yang selamat, menyeronokkan dan lestari, yang sesuai untuk bekerja, beriadah serta didiami rakyat.