BUTTERWORTH, 13 Mei- Sebanyak 79 motosikal disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dalam Ops Rempit di Lingkaran Luar Butterworth ( BORR ) Bagan Ajam, yang berakhir pagi tadi.
JPJ Pulau Pinang menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan operasi dilakukan bersama JSPT Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) dan JSPT Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dari pukul 1 hingga 9 pagi.
“Penguatkuasaan ini bertujuan bagi mencegah aktiviti rempit, lumba haram atau uji kelajuan motosikal yang disertai remaja terutama pada lewat malam hingga ke waktu awal pagi.
"Antara kesalahan dikesan dalam operasi ini ialah mengubah suai motosikal secara ekstrim bagi tujuan tambah kelajuan, rempit dan lumba haram, tayar sotong, tanggal brek belakang, dan pamir nombor pendaftaran 'fancy'.
"Selain itu, kesalahan lain yang dikesan termasuk tukar 'swing arm', ubahsuai ekzos, memandu bawah umur, tiada lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan lnsuran, tidak pamer pelekat P dan lain-lain kesalahan teknikal,"menurut hantaran tersebut.
JPJ turut mengeluarkan 78 notis saman dan teknikal manakala JSPT 297 notis saman dalam operasi yang melibatkan 53 pegawai dan anggota JPJ serta JSPT itu.
"Kepada penunggang dan pemilik motosikal yang melakukan aktiviti rempit dan samseng jalanan ini, anda dalam ‘radar’ JPJ dan JSPT.
"Tindakan tegas dan sita kenderaan akan diambil terhadap penunggang dan pemilik motosikal tanpa kompromi yang melakukan pengubahsuaian untuk tujuan rempit, lumba haram dan samseng jalanan. Keselamatan di jalan raya tanggung jawab kita bersama,"menurut hantaran JPJ Pulau Pinang.