IPOH, 1 Disember- 10 pendatang tanpa izin (PATI) warga negara Indonesia yang cuba diseludup masuk melalui jalan laut, ditahan dalam Ops Pintas Khas di perairan Sungai Tiang Teluk Intan, Rabu lalu.
Ketua Polis Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata turut ditahan tiga transporter termasuk sepasang suami isteri warga tempatan.
Penahanan itu turut membawa kepada tangkapan seorang ejen penyeludupan migran, warga Timor Leste dalam kawasan kebun pisang di Jalan Feri Hutan Melintang.
Kesemua ditahan berumur 25 hingga 60 tahun.
"Modus operandi sindiket ini mengenakan bayaran sebanyak RM1500 hingga RM1800 untuk setiap migran yang diseludup masuk.
"Setiap migran yang telah diseludup masuk seterusnya akan diambil oleh ejen sebelum dihantar ke seluruh negara," katanya kepada pemberita di sini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007.
Sepanjang tahun ini, pihaknya telah menahan 184 migran warga negara asing dan 17 warga tempatan hasil 10 serbuan yang dilakukan.