fb fb fb fb fb

Ops Ihsan, bantuan dilaksana untuk rakyat Palestin lebih efisien - Ahmad Zahid

Foto FB Zahid Hamidi

SEPANG, 18 Disember- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan bantuan kemanusiaan siri ketiga untuk Gaza menerusi Ops Ihsan terbukti berkesan dalam memastikan agihan bantuan lebih efisien.

Jelas Ahmad Zahid, kolaborasi yang julung kali diadakan antara pelbagai Kementerian bersama lebih 50 badan bukan kerajaan (NGO) itu juga mampu mengelakkan pertindihan, selain dapat memastikan bantuan yang disalur memenuhi keperluan penduduk Gaza.

"Kerjasama yang julung kali diadakan ini ternyata berhasil. Kolaborasi ini berjaya mengelakkan pertindihan mahupun penyelewengan bagi memastikan bantuan yang diberikan jelas memenuhi keperluan dan benar-benar sampai kepada pihak yang disasarkan," kata Ahmad Zahid dalam ucapan perasmian Majlis Persiapan Akhir Penghantaran Bantuan Kemanusiaan ke Gaza ketiga di sini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan berangkat menyaksikan persiapan berkenaan.

Penerbangan bantuan kemanusiaan siri ketiga menggunakan pesawat A330-200 Mas Kargo itu dijadual berlepas esok pada pukul 2.30 pagi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Tentera El-Arish di Mesir pada pukul 8.50 pagi, waktu tempatan.

Penerbangan melibatkan muatan barangan sebanyak 60 tan yang terdiri daripada 35.57 tan barangan perubatan, 6.62 tan makanan sedia dimakan, 4.35 tan barangan keperluan bayi dan 13.46 tan persiapan musim sejuk termasuk tilam, selimut dan kit wanita.

Artikel Berkaitan:
Ops Ihsan: Agong berkenan tinjau persiapan akhir pelepasan bantuan untuk Gaza

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM