fb fb fb fb fb

Ops HRA 2024: Lebih 40,000 kenderaan diperiksa

Sebanyak 6,703 saman dikeluarkan secara keseluruhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

KLANG, 13 April- Sebanyak 40,845 kenderaan diperiksa menerusi Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 negeri Selangor setakat 1 hingga 11 April lepas.

Ketua Seksyen Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, Muzlefa Kamarudin berkata, daripada jumlah itu, 3,347 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Sebanyak 6,703 saman dikeluarkan secara keseluruhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

"Nasihat saya pandulah dengan berhati-hati, patuhi lalu lintas, patuhi had laju.

"JPJ juga mempunyai skuad khas yang akan mengambil gambar pemandu-pemandu yang melakukan kesalahan, yang potong barisan, langgar lampu isyarat merah dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas Ops Penyamaran Lampu Isyarat di Kapar di sini.

Katanya, kesalahan tiada lesen memandu kompeten (CDL) paling banyak dikesan dengan 1,736 notis saman dikeluarkan, diikuti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans (1,311 notis) serta lain-lain kesalahan (1,130 notis).

Menerusi operasi itu, sebanyak 115 kenderaan diperiksa dan 81 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan tidak memakai topi keledar, LKM tamat tempoh dan melanggar lampu isyarat.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM