GEORGE TOWN, 2 Februari- Sekurang-kurangnya RM5,000 hingga RM6,000 dibelanjakan pemilik motosikal untuk mengubah suai kenderaan.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang berjaya mengesan 24 buah motosikal yang telah diubah suai untuk tujuan perlumbaan menerusi Ops Bengkel.
Menerusinya, 66 saman dikeluarkan melibatkan pemeriksaan terhadap lima buah bengkel di daerah Timur Laut dan Barat Daya.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata kesemua saman melibatkan kesalahan-kesalahan pengubahsuaian motosikal yang dipercayai untuk tujuan pelumbaan.
Antaranya, menukar ekzos, 'sprocket', menukar alat pengawal kelajuan (komponen CDI), menggunakan tayar sotong, membuang brek dan mengubah suai 'piston' dan blok untuk menambah kelajuan.
Tambahnya, 14 buah motosikal turut disaman atas nama salah seorang pemilik bengkel terbabit.
"Pengubahsuaian yang dibuat ke atas motosikal itu kebanyakannya digunakan di atas jalan untuk tujuan perlumbaan. Memang kita tahu bahawa tujuan pengubahsuaian ini adalah melanggar peraturan.
Antaranya, mereka menggunakan ciri-ciri tayar yang tidak mengikut undang-undang seperti 'tayar sotong', tukar blok bagi tujuan menambah kelajuan dan banyak lagi," kata Adenan kepada pemberita RTM di George Town.
(Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa melakukan operasi di lima buah bengkel
di daerah Timur Laut dan Barat Daya)
Kesalahan diambil tindakan mengikut Seksyen 6(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 59 akta yang sama dan Kaedah 138 1959.
Operasi berkenaan membabitkan 120 anggota termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).