BALIK PULAU, 21 Disember- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi dua nelayan yang hilang di perairan Pantai Kerachut di Kuala Sungai Pinang di sini dihentikan selepas lima hari usaha pencarian tidak menemui sebarang petunjuk baharu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Sazalee Adam berkata pasukan keselamatan telah menggerakkan aset pencarian sejauh 4,802 batu nautika dan 8,802 kilometer persegi namun gagal menemui kedua-dua mangsa.
"Kedua-dua mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras ke sebelah utara. Kami telah berusaha sejauh mungkin, tetapi masih gagal mengesan mereka.
"Kami akan meminta bantuan daripada negara jiran seperti Indonesia dan Thailand untuk mengesan mangsa," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Mangsa, Nor Hasrul Abdullah, 25, dari Paya Kongsi dan Muhamad Ikmal Hakimi Ismail, 22, dari Titi Teras dilaporkan hilang pada Isnin lalu selepas keluar melabuh pukat di perairan Pantai Kerachut.
Difahamkan, bot yang dinaiki kedua-dua nelayan itu mengalami kerosakan sebelum salah seorang mangsa sempat menghubungi ahli keluarga untuk memaklumkan situasi mereka.