
PUTATAN, 30 Ogos – Operasi pembenihan awan di selatan Sarawak dan utara Semenanjung akan dilaksanakan bermula 3 hingga 5 September ini.
- Operasi memberi tumpuan kepada kawasan dengan Indeks Pencemar Udara pada paras sangat tidak sihat dan berbahaya.
- Matlamatnya mengurangkan kesan jerebu dan meningkatkan paras empangan air di kawasan terjejas.
- Permohonan pelaksanaan sudah diluluskan dan persediaan aset pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia sedang dijalankan.
- Keberkesanan operasi bergantung kepada cuaca dan kewujudan awan sesuai; terlalu kering, panas atau tiada awan menggagalkan pelaksanaan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata operasi akan memberi tumpuan di kawasan-kawasan yang merekodkan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada paras sangat tidak sihat dan berbahaya.
Dengan operasi berkenaan, beliau berharap dapat mengurangkan kesan jerebu dan meningkatkan paras empangan air di kawasan terjejas.
“Kita merancang satu operasi pembenihan awan dan permohonan pelaksanaannya sudah diluluskan.
“Ketika ini, persediaan aset pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia bagi tujuan itu sedang dilakukan,” katanya.
Bagaimanapun katanya keberkesanan operasi tersebut bergantung kepada cuaca dan atmosfera termasuk kewujudan awan yang sesuai untuk proses pembenihan.
“Sekiranya cuaca terlalu kering atau terlalu panas atau tiada awan, maka operasi tidak dapat dilaksanakan,” jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Perwakilan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Sabah ke-44 di sini.