fb fb fb fb fb

Operasi pembenihan awan, ATM masih belum terima arahan

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) belum menerima sebarang arahan untuk melakukan sebarang operasi pembenihan awan / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 21 Mac - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) belum menerima sebarang arahan untuk melakukan sebarang operasi pembenihan awan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ATM sentiasa bersiap siaga sekiranya diminta kerajaan untuk melaksanakan operasi tersebut berikutan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

"Itu semua bergantung kepada permintaan oleh kerajaan. Jika ada arahan seperti biasa angkatan tentera dan kementerian pertahanan kita bersedia untuk menjalankan apa-apa tugasan yang diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Wisma Pertahanan, di sini.

Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad pada Rabu dilaporkan berkata, sebelum melakukan pembenihan awan pihaknya akan mengambil kira beberapa faktor dan keperluan bagi memastikan proses berkenaan berhasil memandangkan ia menelan kos yang agak tinggi dan tidak berlaku pembaziran.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN