LANGKAWI , 26 April - Memasuki tahun ketujuh pelaksanaan, Op Khas Pagar Laut terus menjadi banteng utama mengekang dan memerangi kegiatan jenayah rentas sempadan.
Operasi Siri 1/2022 yang bermula 19 April hingga 17 Mei depan, menyaksikan sembilan aset laut termasuk kapal dan bot ditugaskan untuk melakukan rondaan dan pengawasan sepanjang Ramadan dan Syawal di sekitar perairan Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Pulau Langkawi.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, perairan utara negara sentiasa dikawal ketat dengan mengoptimumkan pengoperasian aset sedia ada.
(Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah)
"APMM Negeri Kedah dan Perlis, akan memastikan pemantauan dan rondaan aset-aset di persepadanan perairan negara kita terus dilaksana bagi mengekang sebarang kejadian rentas sempadan terutamanya yang kita jangka akan berlaku pada musim perayaan ketika ini," kata Mohd Zawawi di sini.
Tambahnya,sebanyak 2,783 pemeriksaan dilakukan sepanjang 2020 dan 2021 termasuk 42 kes membabitkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM12.8 juta.
Manakala bagi 2022 hingga 24 April, sebanyak 522 pemeriksaan dilakukan di perairan dua negeri berkenaan membabitkan 3 tangkapan atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan dianggarkan hampir RM600,000