fb fb fb fb fb

Op Tunggak: 182 pemandu miliki rekod saman tertunggak - JPJ

Foto RTM

KOTA BHARU, 26 Januari- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan 182 pemandu dan 163 kenderaan yang mempunyai rekod saman tertunggak menerusi Operasi Saman Tertunggak Kenderaan Pendaftaran Asing Negara Thailand (Op Tunggak), setakat 24 Januari lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya juga telah mengesan dan mengambil tindakan terhadap 172 kenderaan dan sebanyak 619 Notis JPJ (P) 22 telah dikeluarkan kepada pemilik serta pemandu kenderaan Thailand yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Menurut beliau, 16 van Thailand juga telah disita sepanjang tempoh tersebut.

"Antara kesalahan yang telah diambil tindakan oleh jabatan ini terhadap kenderaan Thailand adalah kesalahan melibatkan International Circulation Permit (ICP), tiada lesen memandu, dan kesalahan teknikal lain termasuk kesalahan cermin gelap," katanya pada sidang media di Perhimpunan Setia Khas JPJ Negeri Kelantan di Panji, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, sepanjang tempoh operasi yang bermula 1 Januari lalu, JPJ berjaya mengutip bayaran saman sebanyak RM425,104 dengan 332 saman tertunggak telah diselesaikan.

Sebanyak 2,010 pemandu dan 1,811 kenderaan telah diperiksa oleh JPJ menerusi Op Tunggak yang dijalankan.

Menurutnya, JPJ akan meneruskan penguatkuasaan terhadap kenderaan-kenderaan Thailand bagi meningkatkan tahap Perception of Being Caught (POBC) dalam usaha meningkatkan tahap pematuhan peraturan jalan raya melibatkan warga asing.

Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly berkata JPJ sedang dalam proses perancangan perolehan untuk melaksanakan penggunaan kamera badan bagi anggotanya ketika bertugas.

Pihaknya menjangkakan surat tawaran bagi syarikat terpilih akan dikeluarkan pada bulan Ogos atau September ini.

"Apabila kita ada kamera badan nanti, kita akan ada satu SOP (prosedur operasi standard) dan peraturan baharu bagi anggota JPJ yang bertugas.

"Anggota perlu memakai kamera badan itu apabila menjalankan tugas. SOP ini sedang dibangunkan oleh bahagian penguat kuasa," katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa penggunaan kamera badan untuk anggota JPJ akan diperkenalkan bagi meningkatkan ketelusan penguatkuasaan.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, inisiatif itu secara tidak langsung dapat mengelakkan anggota JPJ daripada dicemuh masyarakat kerana mereka mempunyai bukti ketika bertugas di lapangan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM