fb fb fb fb fb

Ops TBC 2025: 17 bas ekspres tidak dibenarkan bawa penumpang

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (dua, kiri) melihat anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka melakukan pemeriksaan bas ekspres di Melaka Sentral malam tadi / Foto Bernama

PERINGGIT, 25 Januari – Sebanyak 17 bas ekspres di Melaka tidak dibenarkan beroperasi membawa penumpang selepas didapati melanggar pelbagai peraturan teknikal dalam Operasi Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 yang bermula 20 Januari lalu.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata antara kesalahan yang dikenal pasti adalah masalah tekanan brek, tayar, lampu, dan cermin belakang yang tidak menepati piawaian keselamatan.

Menurut beliau, semua bas ekspres terbabit tidak akan dibenarkan beroperasi sehingga pihak syarikat pengendali membaiki kesalahan tersebut dan lulus pemeriksaan piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Pemeriksaan ini dilakukan oleh JPJ bermula 13 Januari lalu di lima depoh JPJ di Melaka. Selain aspek teknikal, bas ekspres yang mempunyai perjalanan melebihi empat jam diwajibkan menyediakan dua pemandu. Semua pemandu juga perlu menjalani ujian air kencing," katanya ketika menyertai Operasi Pemeriksaan Bas di Terminal Melaka Sentral, di sini pada Jumaat.

Beliau turut menegaskan pemeriksaan kedua dilakukan bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin.

“Walaupun pemeriksaan sudah dibuat di depoh, kami tetap membuat pemeriksaan susulan bagi mengelakkan sebarang unsur penipuan, seperti tayar ditukar selepas pemeriksaan pertama,” tambahnya.

Setakat ini, lebih 200 bas telah diperiksa meliputi aspek teknikal dan pematuhan lalu lintas.

Seramai 177 pemandu bas juga telah menjalani ujian air kencing, dengan seorang daripada mereka didapati positif dadah.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN