Op Selamat : 5,000 pegawai, anggota JSPT ditugaskan

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali (dua,kanan) melakukan ‘flag off’ pada Majlis Advokasi dan Pelancaran Op Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Mac Lebih 5,000 pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan ditugaskan bagi menjayakan Op Selamat 26.

RINGKASAN BERITA AI
  • Op Selamat 26 dijalankan 19 hingga 24 Mac sebagai pendekatan tegas PDRM dan JSPT mengekang kemalangan serta memastikan kelancaran trafik.
  • 25 pasukan Unit Tindak Balas Kecemasan (ERT) bersiap sedia memberi bantuan awal kepada pengguna jalan raya di lebuh raya.
  • JSPT mengenal pasti 34 lokasi hotspot dan 25 kawasan blackspot untuk diberi perhatian khusus sepanjang operasi.
  • JPJ laksanakan larangan kenderaan berat pada 19-20 Mac dan 28-29 Mac bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan tingkatkan keselamatan.

Operasi yang berlangsung dari 19 hingga 24 Mac itu merupakan pendekatan lebih tegas diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama JSPT dalam usaha mengekang kemalangan jalan raya serta memastikan kelancaran trafik sepanjang musim perayaan.

Pengarah JSPT, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, 25 pasukan Unit Tindak Balas Kecemasan (ERT) akan sentiasa bersiap siaga bagi memberikan bantuan awal kepada pengguna jalan raya yang berdepan sebarang kecemasan di lebuh raya.

“Sebanyak 11 lokasi di sepanjang lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur telah dikenal pasti bagi penempatan pasukan ERT, bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan pantas dan berkesan.

“Penguatkuasaan dan tindakan serta-merta akan dilaksanakan di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap pengguna jalan raya yang melakukan enam kesalahan utama.

“Kesalahan tersebut termasuk memandu melebihi had laju, menggunakan alat komunikasi semasa memandu, memandu di lorong kecemasan, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong garisan berkembar serta memotong barisan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 26 di sini, hari ini.

JSPT turut mengenal pasti 34 lokasi hotspot dan 25 kawasan blackspot yang akan diberi perhatian khusus sepanjang operasi dijalankan.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan larangan pergerakan kenderaan berat pada 19 hingga 20 Mac, iaitu sebelum Hari Raya, serta 28 hingga 29 Mac selepas perayaan.

Langkah tersebut bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.