fb fb fb fb fb

Op Selamat 18 tumpu aspek melancarkan aliran trafik

KUALA LUMPUR, 27 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melancarkan Operasi Lancar (Op Lancar) di kawasan yang dijangka berlaku kesesakan lalu-lintas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata operasi akan dijalankan sepanjang tempoh Op Selamat 18 sempena Aidilfitri, bermula 29 April hingga 8 Mei nanti.

"Fokus utama Op Selamat kali ini ialah memastikan aliran trafik lancar bagi pengguna jalan raya selain memastikan keselamatan harta benda dan kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah dan kemalangan semasa musim perayaan," katanya dalam kenyataan hari ini.


(Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah San)

Acryl turut menjelaskan, seluruh jentera PDRM di lapangan membabitkan anggota balai dan elemen kereta peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB) serta rondaan bit akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan negeri serta perbandaran.

Pada masa sama, PDRM mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan kesalahan trafik, dengan berkongsi video serta gambar kepada JSPT supaya tindakan lanjut dapat diambil.

Media Baharu