fb fb fb fb fb

Op Raya Aidilfitri: 80% anggota bomba Sarawak bertugas

Jamri Masran/ Foto RTM

KUCHING, 11 Mac- Sebanyak 80 peratus daripada 1,200 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak akan bertugas dalam Op Raya Aidilfitri tahun ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, Jamri Masran, berkata penugasan anggota bukan sahaja tertumpu kepada pemeriksaan bangunan, premis perniagaan, dan kediaman, tetapi turut melibatkan pemantauan di jalan raya, khususnya di Lebuhraya Pan Borneo.

"Peningkatan trafik di laluan tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap risiko kemalangan, sekali gus memerlukan pemantauan lebih rapi oleh pihak bomba," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi Ziarah Sumbangan Raya 2025 di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, di sini hari ini.

Beliau memaklumkan bahawa Op Raya Aidilfitri akan dilancarkan dalam masa terdekat, iaitu seminggu sebelum perayaan, di Sri Aman.

Lokasi itu dipilih bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai aspek keselamatan premis dan kediaman menjelang musim perayaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Jamri turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan penggunaan elektrik bagi mengelakkan risiko litar pintas yang boleh mengakibatkan kebakaran.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa supaya memantau anak-anak ketika bermain mercun bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini sepanjang musim perayaan.

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM