fb fb fb fb fb

Op Catut 2023: KPDN keluarkan 1,149 notis

(FOTO FAIL/ BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 28 Julai- Sebanyak 1,149 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)  menerusi Op Catut 2023 bermula 1 Januari hingga 30 Jun lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil berkata notis dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Ia bagi mendapatkan maklumat berhubung harga jualan dan kos ke atas barangan tertentu untuk dianalisis jika berlaku kenaikan harga melampau serta aktiviti pengambilan keuntungan secara tidak munasabah.

Menurut Shamsul , daripada jumlah keseluruhan notis itu, dua kes melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 21(5) AKHAP 2011 kerana gagal mengemukakan maklum balas ke atas Notis Bertulis yang dikeluarkan.

“Pengeluaran notis tersebut melibatkan pelbagai peringkat perniagaan termasuk di peringkat pengilang, pengimport, pembekal, pengedar, pemborong dan peruncit,” katanya.


(Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil/ BERNAMA)

Selain itu, KPDN juga katanya melaksanakan Op Samar sekitar 2021 iaitu pemeriksaan yang dijalankan oleh anggota bertugas berpakaian preman dengan melakukan penyamaran sebagai orang awam bagi memastikan pematuhan lebih tinggi oleh peniaga.

Berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah Op Samar, seramai 2,250 anggota penguat kuasa menjalankan 2,107 pemeriksaan sejak 1 Januari hingga 24 Julai lepas di seluruh negara.

Media Baharu