fb fb fb fb fb

NS perkasa penjawat awam dengan pengetahuan AI

Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital, Datuk Mohd Faizal Ramli / Foto Bernama

SEREMBAN, 26 Januari – Kerajaan Negeri Sembilan sedang giat memperkasakan penjawat awam di negeri itu dengan pengetahuan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai langkah menuju ke arah transformasi digital.

Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital, Datuk Mohd Faizal Ramli berkata kerajaan negeri kini dalam peringkat perancangan kerjasama bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Telekom Malaysia untuk tujuan tersebut.

“Kami telah merancang bersama MCMC dan Telekom Malaysia, di mana sebahagian kakitangan kerajaan dari jabatan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dihantar ke Universiti Multimedia (MMU) untuk mempelajari ilmu berkaitan AI.

"Berdasarkan maklum balas yang diterima, kehadiran mereka memberikan hasil yang baik. Namun, usaha ini akan terus dipertingkatkan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program MCMC Microsoft AI Teach peringkat Negeri Sembilan, di sini.

Program tersebut bertujuan memperkasakan komuniti setempat melalui pembangunan kapasiti dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI).

Usaha itu juga seiring dengan matlamat Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2027 untuk melahirkan masyarakat celik digital dan meningkatkan daya saing negeri dalam era teknologi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN