NILAI, 25 Disember - Negeri Sembilan Festival (NS Fest) 2025 menjadi platform penting dalam memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Negeri Sembilan, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan.
Festival yang menghimpunkan ratusan usahawan dari pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, produk kraf, teknologi serta perkhidmatan itu memberi peluang kepada peniaga mempromosikan produk, memperluas rangkaian perniagaan dan menembusi pasaran baharu.
Seorang peniaga, Intan Syahirah Fatihah berkata, penyertaan kali keempatnya dalam festival tersebut membuahkan hasil yang memberangsangkan.
“Penerimaan orang ramai sangat baik dan jualan meningkat ketara setiap kali menyertai NS Fest,” katanya.
Bagi Rohana Mohd Isa, yang menyertai festival itu buat tahun kedua, NS Fest disifatkan sebagai pemangkin pendapatan usahawan kecil.
“Terima kasih kepada penganjur kerana menyediakan ruang kepada usahawan untuk menjana pendapatan,” ujarnya.
Seorang lagi usahawan, Hasmah Elek berharap penganjuran festival itu dapat diperluas pada masa akan datang.
“Kami berharap PKS NS Fest dapat diteruskan dengan lebih banyak penyertaan serta sokongan agensi berkaitan supaya lebih ramai usahawan tempatan dapat berkembang dan menembusi pasaran lebih besar,” katanya.
Selain jualan dan pameran, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi perkongsian ilmu keusahawanan, demonstrasi produk serta program interaktif bersama komuniti.
PKS NS Fest 2025 dilihat seiring dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai usahawan berdaya tahan dan berinovasi, selaras dengan agenda pembangunan ekonomi Negeri Sembilan.