fb fb fb fb fb

NRES sedang teliti rangka hala tuju program pemuliharaan hutan

Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR, 6 Februari- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui agensi sedang meneliti dan merangka hala tuju pelaksanaan program pemuliharaan hutan dan penanaman pokok pada masa hadapan.

Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan tersebut selaras dengan keperluan dan objektif Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13), yang digariskan sebagai panduan bagi kesinambungan program berkenaan

"Hutan adalah bawah bidang kuasa negeri tetapi bidang kuasa NRES menerusi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) adalah memberikan nasihat teknikal dalam pengurusan dan pembangunan hutan serta menjalankan penyelidikan dan khidmat latihan.

"Tetapi kita komited untuk mengimbangi keperluan pembangunan di samping memelihara hutan simpan di Malaysia. Antara insentif kita ada adalah AFT dan hasil daripada program diperkenalkan sejak 2019 sejumlah 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan telah diwartakan sebagai hutan simpan kekal," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkenaan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan berhutan bagi memastikan sasaran mengekalkan 50 peratus kawasan berhutan di semenanjung menjelang 2040.

Sementara itu mengenai Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, Nik Nazmi berkata program berkenaan telah mencapai sasaran penanaman dan sehingga semalam, jumlah penanaman adalah sebanyak 109,276,202 pokok.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI