
TANGKAK, 13 Mac – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan dana berjumlah RM60.6 juta bagi melantik seramai 1,950 renjer komuniti di seluruh Semenanjung Malaysia pada tahun ini, sebagai langkah strategik memperkukuh kawalan keselamatan khazanah alam negara.
- Inisiatif sebahagian daripada peruntukan RM80.8 juta untuk melantik 2,500 renjer komuniti di seluruh negara.
- Operasi Bersepadu Khazanah berjaya menumpaskan lebih 3,000 pencerobohan sejak 2019, dengan nilai sitaan RM413.1 juta.
- NRES menyalurkan Insentif Kewangan Konservasi biodiversiti dan hutan RM57.7 juta kepada Johor dalam tempoh lima tahun.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, menjelaskan inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan besar berjumlah RM80.8 juta yang disasarkan untuk melantik keseluruhan 2,500 renjer komuniti di seluruh negara.
Di Johor, seramai 159 renjer komuniti bakal ditempatkan di 14 pos kawalan strategik bagi memastikan pemantauan kawasan hutan dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan rapi.
Menurut beliau, keberkesanan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) terbukti apabila berjaya menumpaskan lebih 3,000 kes pencerobohan di seluruh negara dalam tempoh antara 2019 hingga tahun lalu, dengan nilai sitaan terkumpul mencecah RM413.1 juta.
“Kejayaan sitaan yang tinggi ini menunjukkan keberkesanan operasi yang dijalankan, sekali gus mendorong kementerian untuk terus memperluas serta meningkatkan kekerapan operasi demi melindungi ekosistem alam sekitar kita,” jelas beliau semasa Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Renjer Komuniti.
Selain pelantikan renjer, NRES turut menyalurkan Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (EFT) berjumlah RM57.7 juta kepada kerajaan negeri Johor sejak lima tahun lalu.