NRES perkukuh pemuliharaan ekosistem tanah lembap

Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Februari – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) terus memperkukuh komitmen terhadap pemuliharaan dan penggunaan bijak ekosistem tanah lembap selaras dengan sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2026 yang disambut hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • NRES terus memperkukuh komitmen pemuliharaan dan penggunaan bijak ekosistem tanah lembap.
  • Tanah lembap menyediakan fungsi ekosistem penting seperti tebatan banjir, tadahan air dan simpanan karbon.
  • Tema 2026 menekankan hubungan ekosistem tanah lembap dengan ilmu tradisi dan warisan budaya.
  • Malaysia menyokong Konvensyen Ramsar dan memiliki tujuh tapak Ramsar yang diiktiraf.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dalam kenyataan memaklumkan, kementerian itu sebagai national focal point bagi Konvensyen Ramsar di Malaysia sentiasa komited dan menyokong usaha-usaha Kerajaan-kerajaan Negeri untuk memulihara ekosistem tanah lembap, selaras dengan matlamat dan sasaran Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030.

“Ekosistem tanah lembap menawarkan nilai pemuliharaan yang tinggi merangkumi manfaat ekonomi daripada sumber alam dan pelancongan, serta fungsi ekosistem yang penting seperti tebatan banjir, tadahan air, perlindungan pesisir pantai dan simpanan karbon.

“Malaysia bertuah kerana mempunyai kekayaan ekosistem tanah lembap yang meliputi keluasan lebih 5.19 juta hektar,” menurut kenyataan itu.

Tema sambutan tahun ini iaitu ‘Tanah Lembap dan Ilmu Tradisi: Meraikan Warisan Budaya’ atau Wetlands and Traditional Knowledge: Celebrating Culture Heritage menekankan hubungan rapat antara ekosistem tanah lembap dengan budaya, tradisi serta sistem pengetahuan komuniti tempatan.

Malaysia telah menyertai Konvensyen Ramsar sejak tahun 1994, selaras dengan prinsip penggunaan bijak atau wise use ekosistem tanah lembap.

Konvensyen Ramsar yang diwujudkan pada tahun 1971 kini disertai 172 negara anggota, dengan sebanyak 2,546 tapak tanah lembap berkepentingan antarabangsa diiktiraf di seluruh dunia sehingga tahun 2025.

Kenyataan sama turut menekankan bahawa Malaysia mempunyai tujuh tapak Ramsar yang diiktiraf, antaranya Tasek Bera di Pahang, Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai di Johor, Kuching Wetlands National Park di Sarawak serta Lower Kinabatangan–Segama Wetlands dan Kota Kinabalu Wetlands di Sabah.

Pengiktirafan itu bukan sahaja mencerminkan kepentingan ekosistem tanah lembap negara, malah menonjolkan peranan komuniti setempat dan pihak berkepentingan dalam usaha pemuliharaan berterusan.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan