
KUALA LUMPUR, 13 Mac– Pengukuhan nilai ringgit dilihat sebagai satu petanda positif dalam membantu negara menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang sedang berlaku.
- Pengukuhan ringgit perlu dikekalkan walaupun tekanan krisis ekonomi global masih berpotensi menjejaskan nilai mata wang.
- Strategi kawalan nilai ringgit oleh kerajaan penting bagi memastikan kestabilan ekonomi negara.
- Keadaan ekonomi negara dilihat masih stabil disokong aktiviti perdagangan yang semakin aktif.
- Rakyat diseru mengurus kewangan dan berbelanja berhemat sebagai persediaan menghadapi krisis global berpanjangan.
Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Madya Dr. Shahsuzan Zakaria, keadaan itu perlu dikekalkan namun, krisis ekonomi global tetap berpotensi memberi tekanan kepada nilai ringgit.
“Sekarang nilai ringgit kita pada hari inilah berbanding dengan 1 USD persamaan dengan sekitar RM3.92 dan pengukuhan ringgit ini dilihat satu petanda positif dalam tempoh yang sedang kita hadapi ini.
“Keadaan ni perlu dikekalkan namun, kesan terhadap ringgit tetap ada tetapi strategi kawalan ringgit yang dilakukan oleh pihak kerajaan akan membantu negara untuk terus berada dalam keadaan yang baik,” katanya kepada RTM.
Jelasnya lagi, keadaan ekonomi negara masih stabil memandangkan krisis yang berlaku masih di peringkat awal tambahan pula disokong aktiviti perdagangan yang kian aktif.
Dalam pada masa sama, beliau menyeru kepada rakyat untuk mengikuti saranan kerajaan untuk menguruskan kewangan serta perbelanjaan secara berhemat sebagai persediaan awal menempuh krisis global yang mungkin berpanjangan.