fb fb fb fb fb

NG999 sistem panggilan kecemasan baharu, ganti MERS999

Majlis Menandatangani Perjanjian NG999 antara Kementerian Komunikasi dengan TM Technology Services Sdn Bhd

KUALA LUMPUR, 1 Julai- Sistem panggilan kecemasan baharu negara, Next Generation Emergency Services (NG999) dilancarkan hari ini bagi menggantikan Malaysian-Emergency Responses 999 (MERS999).

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, sistem itu merupakan inisiatif untuk menaik taraf MERS999 sedia ada yang bakal memberi bantuan kecemasan lebih cekap serta pantas dan dijangka beroperasi selewat-lewatnya tahun depan.

"NG999 ialah sistem digital strategik bersepadu yang akan meningkatkan perkongsian sumber dan data antara pusat panggilan kecemasan dan agensi pusat berkaitan.

"Sistem baharu itu juga menyatu padukan peta digital berasaskan web, ID pemanggil, perkhidmatan geolokasi dan aplikasi pintar mudah alih ke dalam pengendalian insiden kecemasan.

"...selain itu, NG999 juga memanfaatkan teknologi canggih termasuk analisis data dan kecerdasan buatan (AI) untuk menyampaikan bantuan kecemasan dengan lebih berkesan," katanya kepada pemberita di sini.

Perjanjian baharu antara kerajaan dan TM itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim di ibu negara.

Pada masa sama TM juga bakal memperkenal aplikasi baharu untuk NG999 yang membolehkan penggunaan teks, foto dan video untuk pengguna berdaftar.

Langkah berkenaan secara tidak langsung meningkatkan mutu komunikasi antara pemanggil dengan petugas bantuan kecemasan dapat dipertingkat sekali gus mempercepat saluran perkhidmatan.

Dalam perkembangan lain, lebih 15,000 panggilan kecemasan palsu diterima Malaysian-Emergency Responses 999 (MERS999) pada setiap bulan sepanjang tahun ini.

Teo Nie Ching berkata, pihaknya memandang serius jumlah tersebut meski pun mencatat penurunan berbanding 19,000 panggilan kecemasan palsu tahun lepas.

Pada masa sama beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat panggilan kecemasan palsu yang boleh mengganggu tugasan barisan hadapan dalam memberi bantuan kecemasan kepada individu memerlukan.

"Jadi saya ingin menasihatkan masyarakat Malaysia khusunya, talian 999 adalah untuk kecemasan dan kami ingin pastikan pemanggil adalah memang membuat panggilan kecemasan.

"...jangan bazirkan masa. Jadi kami harap warga Malaysia boleh membantu permasalahan ini walaupun dalam tempoh satu bulan kita menerima 15,000 panggilan yang tidak tulen. Angka berkenaan masih tinggi," katanya.

Beliau turut mengeaskan, membuat panggilan kecemasan palsu merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang menyalahi undang-undang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI