SEREMBAN, 2 Oktober- Kerajaan Negeri Sembilan siap siaga berdepan sebarang peningkatan indeks pencemaran udara (IPU) disebabkan jerebu rentas sempadan dari Indonesia.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ketika ini pihaknya memantau keadaan cuaca sebelum sebarang tindakan susulan diambil.
Bagaimanapun pemakaian pelitup separuh muka amat digalakkan sebagai langkah pencegahan.
Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat pukul 12.00 tadi kawasan Nilai dan Port Dickson mencatatkan tahap pencemaran udara tidak sihat paling tinggi masing-masing 136 dan 128.
"Kita lihat dalam tiga empat hari ini jerebu telah mula melanda tetapi kita lihat di Negeri Sembilan masih agak terkawal sedikit.
"Kita akan pantau perkara ini bagi memastikan tindakan dan arahan yang akan dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MyPride Fair Peringkat Zon Tengah tahun 2023, Jabatan Penjara Malaysia di sini.
Timbalan Komisioner Jeneral (Keselamatan dan Koreksional) Jabatan Penjara Malaysia Datuk Abdul Aziz Abdul Razak turt hadir pada program itu.
Program terbabit merupakan inisiatif Jabatan Penjara Malaysia untuk memperkenal dan mempromosi produk vokasional dan industri yang dihasilkan penghuni penjara yang sedang mengikuti Program Pemulihan Fasa III (Program Kemahiran) di Penjara Selangor dan Negeri Sembilan.
Ia sebagai persediaan untuk membantu, menyokong dan mengekalkan kepulihan pesalah apabila dibebaskan.
(Aminuddin Harun)