fb fb fb fb fb

Nancy dedah kadar kesuburan Malaysia menurun dengan ketara

Datuk Seri Nancy Shukri menggulung perbahasan mengenai Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM Tahun 2021 dan 2022 di Parlimen hari ini/Foto FB Nancy Shukri

KUALA LUMPUR, 2 Julai - Jumlah kelahiran hidup di Malaysia yang berkait rapat dengan kadar kesuburan jumlah (TFR) menunjukkan penurunan yang semakin ketara, dedah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurut Nancy, jumlah itu berdasarkan laporan yang diterbitkan dalam Laporan Perangkaan Penting 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan penurunan daripada 2.1 orang anak pada 2010 kepada 1.6 orang anak pada 2022.

"Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada penurunan TFR. Ini termasuklah faktor ekonomi, cara gaya hidup yang boleh mempengaruhi keputusan pilihan umur untuk berkahwin, bilangan anak dan sebagainya.

"Pada masa yang sama, masalah ketidaksuburan turut boleh mempengaruhi kadar TFR," katanya ketika menggulung perbahasan mengenai Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia tahun 2021 dan 2022 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Masyarakat (KPWKM) di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya lagi, isu penurunan kadar kesuburan menjadi satu isu global terutamanya dalam kalangan negara maju dan membangun.

"Mengikut unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, beberapa negara di Asia dan Pasifik seperti Hong Kong, Jepun, Korea, Brunei, Australia, New Zealand, Singapura dan Thailand telah mencatatkan kadar kesuburan yang amat rendah iaitu di bawah paras penggantian.

"Malah Indonesia yang berkepadatan penduduk seramai 275 juta juga kini hanya mencatatkan kadar kesuburan menghampiri paras penggantian," katanya.

Susulan itu, Nancy berkata sebagai respons kepada isu global terbabit, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menawarkan perkhidmatan rawatan kesuburan pada kos berpatutan.

"Ini termasuk menyediakan klinik merawat masalah kesuburan lelaki serta memberi insentif pengecualian cukai sehingga RM8,000 kepada pasangan yang mendapatkan rawatan kesuburan," katanya.

Tambahnya lagi, LPPKN juga telah diberi mandat untuk menubuhkan Pusat Subfertiliti Negara yang dilengkapi dengan segala kemudahan rawatan kesuburan di bawah satu bumbung bagi memberi perkhidmatan kesuburan serba moden dengan kos berpatutan.

Menurut Nancy pihaknya bagaimanapun berpandangan keputusan mempunyai anak dan penentuan bilangan anak adalah hak tersendiri setiap pasangan.

“Terdapat pelbagai faktor mempengaruhi keputusan untuk memiliki anak, bilangan anak dan penurunan TFR. KPWKM melalui LPPKN membantu dalam membuat intervensi untuk mereka yang berhadapan dengan masalah ketidaksuburan,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN