fb fb fb fb fb

Naik taraf kemudahan awam, KPKT salur peruntukan kepada MBPJ

PETALING JAYA, 18 Julai- Peruntukan RM1.45 juta disalurkan kepada Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) menerusi Program Sentuhan Kasih KPKT.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata peruntukan itu disediakan bagi melaksanakan tiga projek bagi menaik taraf kemudahan awam demi kesejahteraan rakyat.

Jelasnya, peruntukan akan disalurkan serta-merta bagi memastikan kerja-kerja menaik taraf dapat dilakukan segera.

"Pertama, RM350,000 untuk naik taraf tandas awam dan kerja-kerja berkaitan di Taman Rimba Riang. Taman ini menjadi tumpuan aktivti riadah masyarakat setempat. Kedua, RM550,000 bagi menaik taraf bumbung Dewan Komuniti MBPJ Jalan Nuri.

Ketiga, RM550,000 untuk kerja-kerja naik taraf Gerai Selera Impian Jalan Nuri Seksyen 7, Kota Damansara. Sejumlah RM1.45 juta sebagai sentuhan kasih KPKT kepada MBPJ," kata Kor Ming kepada pemberita selepas merasmikan Projek Penggantian Lif dan sesi 'walkabout' di PPR Kota Damansara, di sini.


(Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming merasmikan Projek Penggantian
Lif dan sesi 'walkabout' di PPR Kota Damansara)

Pada majlis tersebut, sebanyak 12 unit lif telah siap dan digantikan di empat blok PPR itu dengan kos sebanyak RM3.7 juta bawah peruntukan kerajaan Persekutuan melalui Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP).

Peruntukan itu merupakan inisiatif bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan penduduk kekal terjamin.

Dalam sidang media sama, Kor Ming turut meminta Ketua Pengarah Kerajaan Tempatan untuk berbincang dengan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) berhubung isu seorang pemilik kedai salun rambut wanita di Kelantan yang dikompaun RM100 kerana melanggar undang-undang kecil (UUK) MPKB.

Ia berikutan pemilik kedai salun rambut itu membenarkan pekerja wanitanya memotong rambut pelanggan lelaki.

"Saya sudah minta Ketua Pengarah Kerajaan Tempatan untuk berbincang dengan YDP MPKB supaya UUK ini sekiranya boleh dipinda agar kejadian sama seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa hadapan."

"Sukacita saya mengingatkan kepada semua PBT, 150 PBT bahawa Malaysia ini merupakan negara yang berbilang kaum, bangsa dan agama. Sikap saling hormat- menghormati adalah sangat penting untuk menjaga dan membela keharmonian," tambah Kor Ming.

Media Baharu