(FB Istana Negara)
KUALA LUMPUR, 18 Julai- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga legenda sukan olahraga negara, Hanapiah Nasir yang meninggal dunia Ahad lepas.
Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh ahli keluarga beliau sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.
"Seri Paduka berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada negara dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada dunia sukan tanah air.
"Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh," menurut hantaran itu.
Hanapiah, 65, disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 6 petang, Ahad lepas akibat leukemia dan kegagalan pelbagai organ.
Allahyarham semasa zaman kegemilangannya telah memecah rekod Sukan SEA pada tahun 1985 dalam acara lompat jauh dengan lompatan sejauh 7.59 meter (m) dan 110m lari berpagar.
Selain itu, Allahyarham meraih empat pingat emas Sukan SEA menerusi acara lompat jauh (1985), 110m lari berpagar (1985) dan dekatlon (1981 dan 1983).
Allahyarham terus bergiat dalam arena olahraga selepas bersara dan pernah menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih negara dari tahun 2005 hingga 2009.
(Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Hanapiah Nasir)