fb fb fb fb fb

Naib Presiden China tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi

Pesawat khas  yang membawa beliau serta delegasi  mendarat di Kompleks Bunga Raya (KLIA) pada pukul 7.13 malam

SEPANG, 8 November- Naib Presiden China Han Zheng, tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi empat hari.

Pesawat khas  yang membawa beliau serta delegasi  mendarat di Kompleks Bunga Raya (KLIA) pada pukul 7.13 malam dan beliau disambut Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Esok, Han Zheng dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Beliau juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Wisma Putra dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena lawatan Han memaklumkan antara perkara yang akan dibincangkan ialah isu dua hala serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, kerjasama dalam industri halal, konflik Palestin-Israel dan meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China yang akan disambut pada 2024.

Han Zheng  juga dijangka akan melawat Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, Perak dan Pulau Pinang.

Sejak lebih sedekad lalu, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia. Pada 2022, jumlah dagangan antara Malaysia dan China mencecah nilai RM487.13 bilion (US$110.62 bilion), peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding 2021.

Selain itu, China merupakan pelabur langsung asing terbesar di Malaysia untuk 2022, dengan pelaburan berjumlah RM55.4 bilion (US$12.5 bilion).

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI