My-AI Standards perkasa agenda AI negara

Menteri Digital Gobind Singh Deo (dua,kanan) beramah mesra bersama para tetamu pada Majlis Pelancaran My-AI Standards di Menara Cyber Axis Cyberjaya / BERNAMA

CYBERJAYA, 10 Mac – Agenda kecerdasan buatan (AI) negara terus diperkasa menerusi pelancaran My- AI Standards.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perincian pelaksanaan serta penguatkuasaan dijangka siap dalam tempoh 12 bulan.
  • Platform menghimpunkan pakar pelbagai bidang bagi memperkukuh kesiapsiagaan menuju aspirasi AI Negara 2030.
  • Perlu bina struktur, tentukan jawatan dan ciri agensi pelaksana serta penguatkuasaan piawaian.
  • Pembangunan AI mesti berlandaskan kerangka nilai Malaysia: perundangan, etika, budaya dan agama.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo optimis hasil awal berkaitan aspek pelaksanaan, serta penguatkuasaan dapat diperincikan dalam tempoh 12 bulan.

Platform yang bakal menghimpunkan pakar daripada pelbagai bidang itu juga diwujudkan sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan Malaysia menuju aspirasi Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030.

“Apa yang diperlukan adalah pembinaan struktur yang membolehkan kita membawa bersama pakar-pakar yang diperlukan.

“Kita juga kena lihat jawatan yang perlu untuk kita menjayakan projek ini, selepas daripada itu kita kena lihat pada apakah sebenarnya ciri-ciri agensi yang boleh melaksanakan dan menguatkuasakan piawaian yang kita akan tetapkan itu,” katanya selepas melancarkan My-AI Standards.

Tegas beliau pembangunan teknologi AI perlu mengambil kira ciri serta keperluan negara.

Teknologi yang mempunyai keupayaan membuat keputusan sendiri, perlu dilatih berasaskan kerangka nilai Malaysia termasuk aspek perundangan, etika, budaya dan agama.

Ia penting agar kerangka kawal selia yang dibangunkan mencerminkan keperluan negara.