fb fb fb fb fb

Multaqa pendaftar nikah, cerai dan rujuk bina keyakinan keluarga Islam

Foto JAKIM

KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Pendaftar nikah, cerai dan rujuk (NCR) dan pegawai runding cara perlu mendukung akauntabiliti dan ketelusan dalam menggalas peranan sebagai penggerak utama kesejahteraan keluarga masyarakat Islam di negara ini.

Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menganjurkan Multaqa Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk dan Pegawai Runding Cara Seluruh Malaysia Tahun 2024.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Datuk Mohd Ajib Ismail, Multaqa ini bertujuan memperkasa kualiti penyampaian dan menambah baik tadbir urus demi keyakinan masyarakat terhadap pengurusan NCR dan perkhidmatan runding cara keluarga.

"Multaqa ini juga merupakan satu perkongsian berkaitan isu-isu semasa NCR, isu berkaitan cara serta khidmat nasihat dan juga kekeluargaan dalam Islam. Multaqa kali ini menekankan tentang etika dan integriti para pendaftar NCR serta Pegawai runding cara," katanya.

Beliau bercakap mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar selepas merasmikan program tersebut di ibu negara.

Multaqa kali ini melibatkan hampir 300 penyertaan Ketua Pendaftar NCR negeri-negeri, Pendaftar Kanan, Pendaftar, Penolong Pendaftar dan Pegawai Runding Cara dari seluruh negara.

Dalam majlis sama, turut dilancarkan Garis Panduan KSK Care Centre dan Garis Panduan Pelaksanaan Kursus Pascaperkahwinan Islam Berdasarkan Modul Pascaperkahiwnan Islam.

Ia merupakan panduan dan rujukan kepada Jabatan Agama Islam Negeri dan semua pihak yang menyediakan perkhidmatan kaunseling syarie, rawatan Islam, terapi dan bimbingan kekeluargaan.

Trainee2