SHAH ALAM, 24 November- Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada pemilihan parti akan datang.
Keputusan itu dibuat demi memberi ruang kepada pemimpin dan pelapis Bersatu mengambil alih tampuk kepimpinan parti berlandaskan proses demokrasi.
“Ini adalah Perhimpunan Agung kali terakhir saya berdiri di pentas ini, sebagai Presiden parti.
“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli Bersatu sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang memimpin parti. Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan 2023 BERSATU di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah menerusi satu kenyataan berkata Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU telah sebulat suara menolak cadangan yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin.
"MPT sebulat suara berpendirian bahawa kepimpinan Tan Sri Muhyiddin diperlukan oleh parti dan negara," kata kenyataan itu.