KUALA LUMPUR, 15 Februari-Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan lapan individu kerana memuat naik kandungan bersifat palsu dan jelik terhadap Institusi Diraja, khususnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
MCMC memaklumkan bahawa pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Selain itu, tindakan telah diambil terhadap individu-individu terlibat melalui lapan operasi pemeriksaan di enam negeri, termasuk Kuala Lumpur dan Terengganu.
"Lapan telefon pintar dan kad SIM telah disita dan analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti tersebut bagi mendapatkan bukti kes.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) (sebelum pindaan) yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun, atau kedua-duanya," menurut kenyataan itu.
Orang ramai diingatkan untuk bertanggungjawab semasa memuat naik kandungan di media sosial dan perkhidmatan pesanan, serta tidak menyebarkan kandungan palsu atau kebencian yang bertentangan dengan nilai-nilai budaya masyarakat majmuk Malaysia