LANGKAWI, 11 Mac- Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) bakal menganjurkan Bazar Ramadan Pelancongan bersempena Ramadan ini.
Menurut Yang Dipertua MPL, Yang Mulia Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah, ia dinamakan Bazar Ramadan Pelancongan kerana memfokuskan makanan dan produk tempatan terutamanya keluaran Langkawi untuk para pelancong.
Jelasnya, sebanyak 220 tapak disediakan bagi bazar Ramadan ini, selain diuruskan sepenuhnya oleh MPL.
"Para peniaga menyediakan makanan-makanan yang bersih. Pada masa sama apabila mereka berniaga itu kena ada pemikiran pelancong, nak jual kepada pelancong bukan saja kepada penduduk di Langkawi…jadi sajian disajikan hendaklah ditunjukkan dalam keadaan yang menarik lah semoga boleh viral dan ramai yang datang ke Pulau Langkawi," katanya kepada pemberita pada Program Penyerahan Sumbangan Khemah Bazar Ramadan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Kepada MPL di sini.
Tambahnya, pihak MPL juga memperkenalkan Bazar Syawal Pelancongan di Pekan Rabu, Kuah sebagai salah satu tarikan pelancong bersempena Ramadan dan Syawal ini.