fb fb fb fb fb

MoU konsesi pembinaan Projek WISE dijangka pertengahan tahun ini- Nanta

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Seksyen 11, Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Changkat Jering

IPOH, 11 Mac- Majlis menandatangani perjanjian konsesi bagi pembinaan Projek Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) dijangka akan diadakan pada pertengahan tahun ini.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, ketika ini kajian dan perbincangan mengenai projek berkenaan telah berada di peringkat Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

Beliau dalam pada itu mahu pembinaan lebuhraya WISE itu dapat disegerakan sebagai usaha mengurangkan kesesakan aliran trafik dan risiko kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Utara Selatan.

"Kita dah pastikan pertengahan tahun ini kita boleh buat tandatangan untuk kita tetapkan projek itu akan berjalan sekarang memang di peringkat UKAS di peringkat 'draft' awal perjanjian dan sebagainya.

"Kalau saya kata pertengahan tahun ini kita akan tandatangan perjanjian sudah semestinya kita minta ia dipercepatkan dengan segala mungkin kerana banyak kerja-kerja lain juga,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Seksyen 11, Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Changkat Jering, Taiping.

Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) sejauh 60 kilometer akan dijadikan laluan alternatif menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar kepada laluan Terowong Menora di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE