fb fb fb fb fb

14,000 permohonan kewarganegaraan akan diselesaikan tahun ini

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Mac- Sebanyak 14,000 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, terdapat 59,000 permohonan di bawah kategori itu sejak 2013 dengan 35,000 daripadanya telah diproses.

"Jumlah permohonan sebanyak 140,000. Bagi Perkara 15A, permohonan warganegara secara pendaftaran adalah untuk kategori anak angkat, anak lahir di luar ikatan perkahwinan dan juga anak dalam kategori terdampar, tetapi usia sudah meningkat. Jadi Kementerian Dalam Negeri (KDN) proses di bawah 15A. Berapa jumlah permohonan? 59,000. 59,000 daripada 140,000 adalah tiga kategori ini dan berapa yang KDN sudah proses? 35,000. Berapa baki? 14,000. Yang telah diproses itu, berapa yang berjaya? 98 peratus berjaya mendapat warganegara", katanya.

"Saya tahu, saya boleh selesaikan 14,000 yang berbaki sekarang, di bawah 15A ini sebelum 31 Disember tahun ini", katanya kepada media selepas menghadiri Sesi Dialog Khas 2024 Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM, Cheras.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan KDN kini dalam siri memberi penjelasan di Parlimen mengenai cadangan kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung peruntukan hak kewarganegaraan kanak-kanak.

"Saya sekarang dalam siri memberi penjelasan pada ahli-ahli Parlimen dan saya yakin jika saya untuk terus berpeluang beri penjelasan seperti ini, seperti penjelasan kepada wartawan, wartawan bantu tulis, saya yakin pindaan ini boleh mendapat sokongan yang diperlukan", katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim daripada PKR menyuarakan ikrar untuk membantah cadangan pindaan itu dan mendakwa tiada sebab untuk meminda peruntukan yang telah berkuat kuasa selama ini.

ROSLINA BINTI DIN