MOTAC perkasa industri kraftangan tempatan

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man di Parlimen

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Inisiatif mempromosi produk kraftangan tempatan kepada pelancong domestik dan antarabangsa diperkasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memasukkan aktiviti kraftangan dalam takwim pelancongan negeri dan meningkatkan hebahan melalui media massa serta platform digital.
  • Kerjasama dengan Lembaga Muzium Negeri untuk promosikan kraftangan identiti Negeri Sembilan, termasuk kraf bermotif bunga lada.
  • MOTAC komited membangunkan industri kraftangan tempatan dan menjadikan produk pelancongan negeri lebih berdaya saing.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, antara yang dilaksana termasuk memasukkan aktiviti berkaitan kraftangan dalam takwim pelancongan negeri serta, meningkatkan hebahan menerusi media massa dan platform digital mengenai kraftangan istimewa di setiap negeri.

“Inisiatif ini selaras dengan matlamat Tahun Melawat Negeri Sembilan serta kempen Tahun Melawat Malaysia, yang bertujuan mempromosikan produk tempatan khususnya kraftangan kepada pelancong asing.

Selain itu, kerjasama turut dijalinkan dengan Lembaga Muzium Negeri bagi mempergiat usaha mempromosikan produk kraftangan identiti Negeri Sembilan seperti kraf bermotifkan bunga lada,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Dr. Jufitri Joha.

Beliau memohon penjelasan mengenai langkah yang telah diambil dan akan diambil bagi membangun dan mempromosi Bengkel Kraftangan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Tambah Chiew, MOTAC komited membangunkan industri kraftangan tempatan dan menjadikan produk pelancongan di setiap negeri lebih berdaya saing.