
KUALA LUMPUR, 12 Mac – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terus mempergiat promosi di beberapa pasaran utama termasuk Eropah, Asia dan ASEAN bagi memastikan sasaran kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dicapai.
- MOTAC menyusun strategi promosi baharu susulan konflik di Asia Barat untuk menyesuaikan pendekatan pemasaran pelancongan negara.
- Semua agensi bawah MOTAC akan mengadakan perbincangan bagi menyusun semula strategi promosi dan pelaksanaan kempen.
- Langkah strategi penting untuk mengekalkan daya saing dan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, langkah berkenaan antara strategi kementerian bagi memperluas promosi sektor pelancongan negara susulan perkembangan konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini.
Ke arah itu, MOTAC dan semua agensi di bawahnya akan mengadakan perbincangan menyusun semula strategi promosi bagi memastikan sasaran kempen dicapai.
Tambahnya, strategi itu penting bagi memastikan sektor pelancongan negara kekal berdaya saing selain mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetitif di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Iftar Ramadan Bersama Menteri MOTAC di Ibu Negara.