fb fb fb fb fb

MOT perkenal program khas buka peluang kepada individu tanpa SPM

Anthony Loke Siew Fook

PUTRAJAYA, 25 Jun- Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memperkenal satu program khas bagi membolehkan individu tanpa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti kursus Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, menerusi program itu, individu terlibat boleh menjadi tenaga pengajar bertauliah di institut memandu (IM).

"Sebelum ini, untuk melayakkan seseorang itu mendapatkan SPIM, calon mesti memiliki SPM, jadi ia tidak dapat dipenuhi sebab ramai yang tidak boleh mendapatakan sijil tersebut. Kita juga mendapat maklum balas dari institut memandu kerana kekurangan tenaga pengajar.

"...mana-mana yang tidak ada sijil SPM boleh terus mendaftar untuk menduduki kursus SPIM ini. Bukan bermaksud terus dapat, tetapi boleh mengambil kursus dua minggu, sebelum menduduki ujian. Sekiranya lulus akan diberikan sijil pengajar dan boleh ajar memandu," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-4 di sini.

Inisiatif tersebut diperkenal mengambil kira maklumbalas pengusaha Institut Memandu yang mempunyai tenaga pengajar yang baik, namun tidak berpeluang mengikuti SPIM kerana tiada kelayakan SPM.

Pengecualian bersyarat sementara itu berkuatkuasa selama enam bulan dan akan bermula 1 Julai depan.

Bagaimanapun selepas tempoh tersebut pihak kementerian akan mengkaji semula pelaksanaannya.

Dalam perkembangan lain, kerajaan akan memudahkan urusan pendaftaran Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing yang memasuki Malaysia.

Anthony  berkata, kerajaan juga tegas dalam melaksanakan peraturan tersebut bagi memastikan kenderaan asing mematuhi peraturan jalan raya di negara ini.

"Tidak akan ada pusingan-U, pada 1 Oktober ia akan dikuatkuasakan. Mesejnya sangat jelas, saya harap pemandu Singapura yang kerap datang ke Malaysia, kami mengalu-alukan mereka. Tetapi mereka perlu mengikut undang-undang dan peraturan. Sama seperti kereta rakyat Malaysia yang pergi ke Singapura, kita perlu mematuhi undang-undang dan peraturan mereka.

"...jika mereka memandu melebihi had laju, perlu membayar saman. Sesetengah daripada pemandu asing telah melakukan kesalahan jalan raya dan mempunyai banyak saman, tetapi kita tidak ada cara untuk mengesan," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI