fb fb fb fb fb

MOSTI sedia perluas penggunaan teknologi nuklear dalam pelbagai industri

Foto Fail

JOHOR BAHRU, 27 Februari- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) telah bersedia di peringkat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), untuk memperluas penggunaan teknologi nuklear di Malaysia.

Teknologi itu bakal disebar luas kepada pelbagai industri termasuk perubatan, pertanian, perkhidmatan awam dan juga bagi kegunaan harian penduduk. 

Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata teknologi nuklear yang dihasilkan di Malaysia adalah untuk tujuan aman. 

Sebanyak 21 Pusat Khidmat Nuklear ditubuhkan di seluruh negara bagi memantau rapi usaha tersebut, terutamanya dalam menawarkan penyelesaian masalah melalui penggunaan teknologi nuklear selamat.

"Kita hendak menggunakan kepakaran penyelidik-penyelidik, contohnya untuk kita menyelesaikan isu yang berkaitan dengan keterjaminan makanan."

"Melalui penggunaan ini, kita dapat membuat rawatan-rawatan tertentu kepada benih padi kita, supaya kita dapat lebih banyak hasil selain tahan penyakit dan juga bencana," kata Dr. Aminuddin kepada pemberita dalam sidang media bersempena Program Promosi Bersasar, Technology Preview & Showcase, di sini.

Katanya, pengaplikasian tingkat teknologi berkenaan bakal menjadi nilai tambah terhadap pertumbuhan industri ekonomi negara. 

Justeru, persepsi orang ramai berhubung teknologi nuklear mendatangkan ancaman besar terhadap keselamatan mereka adalah tidak benar.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM